Saturday, August 2, 2008

Tercapaikah matlamat 2020

Ada berpuluh jenis bantuan kewangan yang disediakan, tetapi cubalah dapatkan barulah kita tahu.Bantuan itu disalurkan melalui bank-bank yang masih belum lagi melakukan anjakan paradigma mereka.Bank masih lagi belum keluar daripada kepompong menilai projek dari segi nilai cagaran bukan nilai projek itu sendiri. Pernah berlaku seorang sahabat saya daripada syarikat Far Alliance Sdn Bhd yang mempunyai 16 jurutera Melayu yang telah membentuk suatu alat yang boleh mengguna elektrik untuk semua peralatan komunkasi.Mereka memerlukan AS15 juta untuk membentuk prototype alat tersebut supaya dapat diperdagangkan.Kita tidak perlu menggunakan saluran talipon untuk alat-alat komunikasi.Satu demonstrasi ke suatu demonstrasi dilakukan daripada TNB sehinggalah kepada Tun Mahathir (semasa dia menjadi Perdana Menteri).TNB sendiri telah meminta berpuluh ujian dilakukan dan semuanya lulus.Saya sendiri telah membawa mereka berjumpa tidak kurang daripada 6 institusi kewangan sampai orang teratas, tidak satu pun berhasil. Akhirnya saya suruh mereka mencuba nasib diIndonesia. Mereka diterima dengan tangan terbuka.Modal insan yang beginilah yang kita perlukan yang perlu disuburkan dengan bantuan dan bimbingan. Malangnya orang-orang bank yang masih lagi berfikiran picik dan jumud tidak sedar pentingnya syarikat kecil dan sederhana diberikan bantuan. Itulah yang dikatakan cakap tak serupa bikin.
Dalam bercakap pasal modal insan kita mementingkan kuantiti bukan kualiti. Lebih banyak universiti lebih bagus.Lebih banyak yang masuk universiti lebih baik sampai ada sasaran 200 ribu. Program yang ditawarkan lazimnya bertindih antara satu universiti dengan yang lain.Kebanyakan universiti tidak ada halatuju, kemana mereka hendak pergi. Kalau disuruh membentuk transformi menjadi universiti kelas dunia mereka tidak tahu.
Insan yang bakal dijadikan modal dalam ekonomi yang berteraskan ilmu tentu sekali sesuatu yang bukan produk berorientasikan peperiksaan, yang bukan mahir dalam kerja "potong dan tampal"
sahaja tetapi sesaorang yang cekal, gigih, berilmu, berkemahiran,amanah, mempunyai integriti,mampu berkomunikasi dalam beberapa bahasa dan mampu berfikir.Kita sudah lihat bagaimana dalam tahun-tahun 80an kepercayaan yang diberikan kepada beberap individu Melayu untuk memimpin konglomerat kita hancur disebabkan tidak amanah, tidak berupaya mengurus. Kita lihat beberapa syarikat yang tersenarai tersadai dengan hutang berbilion ringgit termasuk juga mereka yang menyelenggarakan perbadanan ekonomi negeri. Kalau dinegara lain mereka ini sudah dihumban kedalam penjara tetapi disini mereka terus berurusan dengan menukar kulit malahan ada yang begitu lantang suara seolah-olah orang tak ingat perangai buruk mereka.
Apa yang diperlukan ialah suatu "revolusi"
dalam sistem pendidikan daripada bawah sehingga atas.Lihat sahaja negara-negara disekeliling kita seperti Singapura, Korea Selatan, Taiwan yang kini telah jauh meninggalkan kita dari segi daya saing. Rasuah yang menjadi-jadi membelenggu kita dan inilah bakal menjadi barah yang akan membunuh kita.

(Bersambung)

No comments: